E
|
thical leadership and diversity.
“.…pada dasarnya jiwa kepemimpinan dimilki oleh setiap
diri manusia (self leadership), setidaknya dirasakan manakala seseorang
melewati suatu proses merencanakan dan menetapkan suatu keputusan guna
merealisasikan tujuan hidupnya, namun dalam merencanakan kepemimpinan itu
sendiri sering sekali manusia dihadapkan pada berbagai permasalahan hidup silih
berganti, tidak sedikit persoalan muncul hanya disebabkan kesalahan dalam
bertindak dan keliru mempersepsikan sesuatu, untuk menghindarinya menjadi
penting faktor mengendali diri dengan baik, salah satunya adalah dengan mengamalkan
nilai-nilai etika dan moral dalam kehidupan, jadi kepemimpinan dengan etika dan
moral merupakan satu kesatuan yang sangat erat…..”
Pemimpin yang beretika dianggap
pemimpin yang jujur, amanah, sangat dipercayai dan dapat diharapkan bukan setakat untuk
memimpin dan melindungi subordinat, tetapi dijadikan sumber rujukan dan contoh
tauladan hidup oleh subordinat. Apakah yang dikatakan pemimpin yang beretika?
Pemimpin
yang beretika adalah pemimpin yang mengotakan apa yang dilafazkan. Kewibawaan
seorang pemimpin terjejas apabila tindakan-tindakan atau keputusan-keputusan
yang diambil tidak selaras dengan ikrar, janji atau kata-kata yang pernah
dilafazkan. Pihak yang mendengar, melihat dan menyedari tentang perkara ini
akan memandang serong kepada pemimpin sebegini dan melihat kepimpinannya dengan
sinis.
Pemimpin
yang tidak mengotakan kata-katanya akan dianggap sebagai pemimpin yang lemah,
tidak perlu ditakuti, tidak boleh dipercayai, dianggap penuh retorik dan penuh
dengan budaya propaganda. Lebih malang lagi sekiranya ini berlaku, bukan hanya
subordinat tetapi masyarakat sekeliling akan memberikan tafsiran pelbagai
dengan konotasi negatif setiap kali pemimpin sebegini melafazkan kata-kata.
Kata-katanya tidak diterima sepenuh hati, arahan tugasan olehnya dilaksanakan
oleh subordinat dengan separuh hati.
Menjaga Kerahsiaan
Pemimpin
yang berada dipuncak hierarki akan biasa berhadapan dengan suasana kerja yang
memerlukan kerahsiaan. Rahsia adalah sesuatu yang perlu disimpan dengan cermat
dan teliti. Rahsia tidak lagi menjadi rahsia sekiranya terdapat pihak yang
tidak berkaitan mengetahui rahsia tersebut. Apabila disebut tentang kerahsiaan,
ia pasti akan dikaitkan dengan data, statistik, maklumat terperingkat,
perancangan atau perkara-perkara yang bakal dilakukan. Pemimpin haruslah
bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga kerahsiaan. Kegagalan pemimpin untuk
memelihara kerahsiaan menimbulkan rasa tidak senang dikalangan subordinat dan
masyarakat sekeliling tetapi juga integriti seorang pemimpin tersebut
dipertikaikan.
Lebih malang lagi apabila rahsia
tersebut bukannya bocor akibat dari kehilangan fail-fail sulit mahupun dokumen
terperingkat yang berada di tangan pemimpin atau staf terdekatnya, tetapi
rahsia tersebut tiris dari lidah pemimpin itu sendiri dan terus mengalir ke
pintu pejabat dan banjir ke seluruh organisasi. Mungkin pada awalnya pemimpin
merasakan bahawa dirinya penting di dalam organisasi kerana dianggap sebagai ‘first hand information informer’. Tetapi dihujungnya pemimpin
sebegini akan hilang wibawa di mata subordinat dan masyarakat sekeliling.
Berhadapan Konflik
Dalam
memimpin sebuah organisasi, seorang pemimpin tidak dapat lari dari risiko
bahawa organisasinya berhadapan dengan pelbagai jenis konflik. Konflik adalah
salah satu medan yang mengukur kewibawaan dan keupayaan seorang pemimpin dalam
usaha menanganinya. Terdapat sesetengah konflik yang kritikal dan perlu diselesaikan serta-merta.
Terdapat juga konflik yang memerlukan masa untuk menyelesaikannya.
Pemimpin
yang berwibawa tidak mudah melatah dan membuat keputusan yang terburu-buru
apabila berhadapan dengan konflik. Apabila organisasi menghadapi konflik,
seluruh organisasi akan memberikan tumpuan kepada pemimpin dan warga kerjanya.
Segala pernyataan, tindakan dan keputusan pemimpin akan dianggap sebagai arahan
yang perlu dilaksanakan sebagai jalan keluar untuk mengatasi konflik. Sekiranya
pemimpin terlalu terburu-buru dan sentiasa mengeluarkan kenyataan dan keputusan
yang saling bertentangan, kewibawaan pemimpin akan dipertikaikan dan subordinat
beranggapan bahawa pemimpin mereka bercakap dahulu baru berfikir.
Ibarat
kata Hang Jebat , otak diletak ke empu kaki. Pemimpin yang berwibawa adalah
pemimpin yang tidak menuding jari dan meletakkan kesalahan atas kewujudan
konflik ke atas subordinat, tetapi mengambil tanggungjawab untuk ke hadapan
menyelesaikannya. Malah lebih hilang wibawa seorang pemimpin yang pandai
mengambil kredit atas kelebihan subordinat dengan mengecapkannya sebagai usaha
pemimpin tetapi apabila timbul masalah, subordinatlah orang yang patut
dipersalahkan dan dihukum.
Mengendali Subordinat
Di
dalam organisasi, pemimpin tidak dapat dipisahkan dari subordinat. Ia ibarat
aur dengan tebing. Pemimpin akan menghadapi kepelbagaian sikap dan mentaliti
subordinat. Ada yang berpendirian keras, konservatif, moderat, idealis dan
pelbagai lagi. Walaupun terdapat pelbagai teori dan pendekatan yang dikemukakan
oleh sarjana dan pengkaji bidang sains sosial, setakat ini tiada pendekatan
yang benar-benar dianggap terbaik dalam pengendalian subordinat. Pemimpin harus
melihat semula kepada ‘nature of subordinate’.
Mengendalikan subordinat adalah subjektif sifatnya dan kaedahnya adalah
pelbagai bergantung kepada situasi dan keadaan.
Pemimpin yang berwibawa adalah
pemimpin yang turun padang dan bertemu dengan subordinat, hatta pada hierarki
yang paling bawah. Jubah dan ego seorang pemimpin harus diletakkan dan
digantung disebalik pintu bilik kerja apabila seorang pemimpin turun padang.
Pemimpin harusnya berbicara dengan nada dan ‘bahasa’ subordinat agar subordinat
menerima kehadiran pemimpin dengan perasaan terbuka. Pemimpin haruslah mencari,
mendengar dan menyelami masalah subordinat dan berusaha menyelesaikannya.
Pemimpin yang berwibawa harus lebih banyak mendengar dan bertindak.
Pemimpin
yang berwibawa adalah pemimpin tidak mudah membuat penilaian negatif terhadap
subordinat dan bertindak menghukumnya. Subordinat yang bermasalah wajar
dinasihatkan, dibantu dan dibentuk semula agar ia mengikuti jalan yang
digariskan dan diingini oleh pemimpin. Subordinat yang dianggap sebagai ‘new blood in the organisation’ pula sepatutnya diberikan pendedahan dan panduan
yang lengkap dengan ‘job
description’ , ‘standard
operation and prosedure’ dan senarai ‘do
and don’t’ yang
bersesuaian dengan tugas dan diberikan masa yang munasabah untuknya
menyesuaikan diri. Penyesuaian diri dengan tugas terutama kepada subordinat
baru bukannya perkara yang boleh diselesaikan dalam satu malam atau satu
purnama. Sikap pemimpin yang gemar memandang rendah kepada ‘new comers’ ini
adalah antara sikap yang menjatuhkan wibawa seorang pemimpin.