Sains dan Teknologi Dalam Pelupusan
Sampah
1.0
Pengenalan
Apakah
yang akan berlaku jika beribu-ribu tan sampah yang kita buang setiap hari
terpaksa dikumpulkan dalam satu tempat dan tidak dapat dilupuskan? Kajian
menunjukkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya menghasilkan kira-kira 16,000
tan sampah sehari yang dikendalikan oleh 168 tapak pelupusan buat masa
sekarang. Apa yang kita buang bukan sahaja mendatangkan beban kewangan kepada
kerajaan tetapi juga mempunyai kesan langsung kepada alam sekitar dan kualiti
kesihatan kita keseluruhannya. Secara purata, setiap rakyat
Malaysia menghasilkan 0.8kg. sampah setiap hari. Jumlah ini bertambah besar
jika mengambil kira individu yang tinggal di bandar. Penghuni kawasan bandar
dianggarkan menghasilkan 1.5kg. sampah setiap hari. Menurut statistik yang
dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2001,
16,247 tan sampah dihasilkan di Malaysia setiap hari. Negeri Selangor
mendahului negeri-negeri lain dengan penghasilan sampah sebanyak 2,955 tan
sehari. Ini diikuti dengan Kuala Lumpur (2,634 tan/hari), Johor (2,002
tan/hari), Perak (1,596 tan/hari) dan Kedah (1,383 tan/hari).
Melihatkan data di atas, penghasilan sampah atau sisa pepejal
bergantung kepada keluasan sesebuah kawasan, jumlah penduduk dan aktiviti yang
dijalankan. Jenis sampah yang terhasil juga berbeza mengikut kawasan. Bagi
kawasan bandar, sampah pepejal yang terhasil adalah lebih kompleks berbanding
di luar bandar. Sampah yang terhasil adalah dalam bentuk kertas, bahan-bahan
kaca, kayu-kayu sisa binaan, bahan-bahan plastik, sisa-sisa makanan,
bahan-bahan aluminium dan sebagainya. Isu pelupusan sampah di ibu kota menjadi
masalah utama dan tidak berkesudahan. Di Kuala Lumpur saja,
tidak kurang 300 kenderaan sampah atau kira-kira 2,500 tan sampah dihantar
ke Tapak Pelupusan Sampah Taman
Beringin, Jinjang, sehari untuk dilupuskan. Tapak pelupusan ini adalah satu-satunya tapak pelupusan sampah yang masih wujud di ibu kota dan ia juga sudah nyawa-nyawa ikan..Ia sepatutnya ditutup sejak 1998, namun sehingga hari ini, tapak pelupusan itu masih beroperasi dan terus menyeksa penduduk sekitar.
Beringin, Jinjang, sehari untuk dilupuskan. Tapak pelupusan ini adalah satu-satunya tapak pelupusan sampah yang masih wujud di ibu kota dan ia juga sudah nyawa-nyawa ikan..Ia sepatutnya ditutup sejak 1998, namun sehingga hari ini, tapak pelupusan itu masih beroperasi dan terus menyeksa penduduk sekitar.
1.1 :Pengurusan sisa
Pengurusan sisa ialah pemungutan, pengangkutan, pemprosesan, pengitaran semula atau pembuangan, dan pengawasan bahan sisa. Istilah
ini biasanya dikaitkan dengan bahan yang dihasilkan oleh kegiatan manusia,
dengan pengurusan sisa umumnya dilakukan untuk mengurangkan kesannya pada kesihatan, persekitaran atau estetik.
Pengurusan sisa boleh membabitkan pepejal, cecair, gas, atau bahan radioaktif,
dengan kaedah dan kepakarannya berbeza-beza. Amalan pengurusan sisa berbeza antara negara maju dengan negara
membangun, antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar, dan antara penghasil kawasan kediaman dan penghasil industri.
Pengurusan untuk sisa tidak berbahaya bagi kawasan kediaman dan institusi di
kawasan metropolitan biasanya merupakan tanggungjawab pihak berkuasa kerajaan
tempatan, manakala sisa tidak berbahaya komersil dan perindustrian
biasanya merupakan tanggungjawab penjananya.
2.0
Pengurusan
Sisa Pepejal di Malaysia
Walaupun
Malaysia mempunyai jumlah tapak pelupusan sisa pepejal yang banyak, namun
jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah sampah yang dihasilkan.
Dianggarkan, sebahagian besar tapak ini akan penuh atau tidak boleh digunakan
dalam masa dua tahun lagi. Bukan itu sahaja, kaedah pelupusan sampah jenis ini
berisiko tinggi terhadap alam sekitar dan manusia di sekitar kawasan tapak
pelupusan itu. Sebagai contoh, tapak pelupusan terbuka boleh memberi kesan
kepada sistem tanah dan air di kawasan tersebut. Selain bau busuk, penyakit
mata dan kulit juga boleh mengganggu hidup manusia di persekitaran kawasan
tapak.
Akibat
masalah ruang yang semakin terhad, Malaysia kini beralih kepada teknik
pembakaran untuk mengatasi masalah pelupusan sampah. Terdapat tujuh pusat
pembakaran mini di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Pulau
Labuan. Pusat pembakaran mini ini mempunyai kapasiti pengurusan sisa pepejal
sebanyak 3-10 tan/hari/unit. Di samping itu, sebuah pusat pembakaran
berteknologi tinggi (Thermal Treatment Plant) akan dibina di Kampung Brogo,
Semenyih, Selangor. Pusat pembakaran ini mampu menguruskan 1,500 tan sisa
pepejal dalam sehari. Sementara itu, di Pulau Labuan juga terdapat sebuah pusat
pembakaran yang menggunakan kaedah 'Thermal Oxidation'. Pusat pembakaran ini
mampu mengendalikan 40 tan sisa pepejal sehari.
Pembinaan
pusat pembakaran dikatakan mampu mengatasi masalah pelupusan sisa pepejal di
Malaysia .Ini kerana sistem itu berkeupayaan membakar sampah dengan lebih cepat
berbanding pelupusan sampah terbuka. Sistem pembakaran boleh membakar 99
peratus sisa pepejal menggunakan suhu yang tinggi sekitar 500-600 darjah
celsius. Melalui kaedah ini separuh dari sisa pepejal yang dihasilkan boleh
dibakar setiap hari. Abu hasil dari pembakaran itu pula dikatakan 99 peratus
selamat untuk ditanam di mana-mana tapak pelupusan sampah yang sedia ada.
Selain dari itu, kaedah pembakaran juga dikatakan mampu membakar kuman-kuman
yang terdapat dalam sisa bagi mengelakkan masalah penyebaran penyakit. Dalam
masa yang sama, sistem ini telah dibina dengan mengambil kira semua aspek bagi
mengatasi masalah jerebu, masalah bau busuk dan pelepasan gas dioksin.
Walaupun
kaedah pembakaran menjadi pilihan untuk mengatasi masalah pelupusan sampah yang
meningkat, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira. Pembinaan pusat
pembakaran sebenarnya memerlukan sumber kewangan yang sangat tinggi. Misalnya,
pembinaan pusat pembakaran mini di Langkawi sahaja melibatkan kos sebanyak
RM5.7 juta. Manakala pembinaan pusat pembakaran di ibu kota pula menelan
belanja antara RM500 juta hingga RM1 bilion. Dengan kos yang setinggi ini,
seluruh rakyat perlu menanggung kos itu secara bersama. Ini tentu sahaja akan
menimbulkan rungutan pihak tertentu.
Di samping
itu, masalah alam sekitar dan kesihatan manusia yang berpunca dari aktiviti
pembakaran juga harus diambil kira. Misalnya masalah jerebu dan masalah gas
dioksin akibat pembakaran sisa yang tidak sempurna. Di Jepun, pelepasan gas
dioksin merupakan satu masalah yang besar. Ia dikaitkan dengan penyakit kanser,
kecacatan bayi dalam kandungan, masalah kulit dan memberi kesan negatif kepada
sistem reproduktif manusia. Selain mencemarkan udara, dioksin juga mampu
menyerap ke dalam tanah dan air lalu mencemarkan air dan seterusnya mencemarkan
tumbuhan, hasil tenusu dan ikan. Kedua-dua masalah ini perlu diambil kira agar
tidak mewujudkan masalah lain yang akan menyukarkan kehidupan manusia dan
merosakkan alam sekitar.
3.0
Inovasi
Pengurusan Sampah
3.1 Konsep
Rawat Dan Jana
Konsep pengurusan
sampah membabitkan sistem pengumpulan, pengangkutan dan penghapusan yang
efisien dan seharusnya sangat efektif, khususnya dari segi teknologi pelupusan.
Ini kerana timbunan sampah yang tidak diurus dengan baik
akan menimbulkan kesan yang negatif terhadap alam sekitar seperti bau busuk,
pengaliran air kotor (leachate) ke dalam sungai dan pembebasan gas merbahaya
umpamanya karbon dioksida dan metana daripada tapak pelupusan sampah itu
sendiri. Pengurusan sampah di Selangor dan Lembah Klang kini lebih berinovatif
dengan adanya loji Bahan Bakar Terbitan atau Refuse
Derived Fuel(RDF) yang beroperasi di Semenyih Kajang. Projek perintis ini
bermula pada tahun 2006 melalui kerjasama antara Majlis Perbandaran Kajang,
firma bumiputra Recycle Energy Sdn Bhd (RESB), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear
Malaysia) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Loji RDF ini adalah sistem dua dalam satu yang mampu
memproses serta merawat sampah yang dibuang oleh pendudduk setempat dan dalam
masa yang sama boleh menjanakan tenaga eletrik daripada sampah terbabit.
3.2 Skematik Proses
Berbanding dengan tempat pelupusan sampah konvensional
yang hanya sekadar melambakkan sisa sampah dengan banyaknya, teknologi RDF ini
mempunyai mekanisme pintar untuk mengurus dan merawat antara 700 dan 1000 tan
sampah dalam sehari. Proses yang digunakan adalah cukup mudah, bermula
dari penghantaran sampah ke tempat pengumpulan sisa-sisa pepejal yang terdapat
di loji RDF ini. Sistem unik ini mampu untuk membuat pemilihan sampah yang
mempunyai bahan boleh bakar agar ia boleh dikitar semula menjadi pelet
(butir-butir kecil) yang dinamakan RDF untuk dijadikan sumber bahan api.
RDF yang dihasilkan oleh loji ini mempunyai ciri-ciri
kemeruapan yang tinggi, mudah terbakar dan mempunyai nilai kolorifik yang
rendah disebabkan kandungan kelembapannya di dalam kadar antara 20 dan 30
peratus. Istimewanya RDF ini ialah ia boleh diubahsuai dan dicampur aduk dengan
bahan buangan yang lain mengikut kesesuaian untuk menghasilkan pelbagai jenis
pelet yang berlainan jenis dan karakter. Ia juga boleh digunakan sebagai bahan
api untuk kilang pemprosesan simen atau kilang penghasilan batu-bata, dek
kerana harga pasarannya yang jauh lebih murah berbanding arang batu. Bagi bahan
tidak boleh bakar pula, ianya boleh diasingkan secara mekanikal daripada sisa
sampah pejal ini.
Bahan yang berguna seperti plastik, kaca, botol, bahan
logam dan kertas akan dijadikan bahan kitar semula yang bernilai dan boleh
dijual kepada kilang-kilang yang berminat untuk mendapatkannya. Kebaikan sistem
inovatif ini ialah pada akhir proses, hanya 10 peratus sahaja amaun sisa sampah
pepejal yang tinggal. Bahan lengai ini yang terdiri daripada pasir,batu dan
kayu boleh dibuang dengan selamat di tempat pelupusan sampah tanpa meninggalkan
sebarang kesan pencemaran.
3.3 Melupuskan sampah cara pyrolisis
Teknologi pelupusan sampah terbaru dan
pertama dunia menggunakan teknik pyrolisis - proses pembakaran tanpa oksigen
pada suhu yang tinggi di antara 800 hingga 1,1000C - akan menghasilkan sedimen
(sisa buangan) yang boleh diguna sebagai baja dan gas pembakaran bagi kegunaan
rumah serta menjana kuasa tenaga elektrik. Menurut Pengarah Urusan DRT
Technologies Sdn. Bhd., Mohd. Ayub Harun, loji pelupusan sampah menggunakan
teknologi pyrolisis amat praktikal didirikan di taman perumahan, kawasan
perindustrian, ladang-ladang mahupun hospital. ``Menggunakan teknik mesra alam,
teknologi pyrolisis tidak menghasilkan gas-gas toksik yang mencemarkan alam
sekitar. Kadar pelepasan dioksin (satu kumpulan sebatian kimia yang wujud di
atmosfera dan dihasilkan secara tidak sengaja sewaktu proses pembakaran) juga
amat rendah di paras 0.0087ng TEQ/M padu berbanding dengan paras yang
dibenarkan di negara-negara Eropah iaitu 0.1 TEQ/m padu),'' katanya.
Masa yang diperlukan untuk memproses
10 tan sampah amat singkat iaitu hanya lapan hingga 12 jam diperlukan untuk
memproses 10 tan sampah. Menurut Ayub lagi, kos pembinaan loji tersebut adalah
murah berbanding dengan jenis-jenis loji pelupusan yang lain. ``Berbekalkan
pelaburan sebanyak RM600,000 hingga RM100 juta, sebuah loji yang boleh
memproses satu hingga 500 tan sampah sehari boleh beroperasi. Malah loji ini
juga mudah untuk dipindahkan ke tempat lain dengan mudah jika kawasan berkenaan
tidak lagi memerlukannya,'' katanya. Menurut Ayub, penggunaan loji berkenaan
sangat kos efektif kerana hanya memerlukan lima hingga 15 orang sahaja bagi
mengendalikan operasinya yang menggunakan teknologi komputer. Memerlukan
keluasan setengah hingga satu ekar tanah saja, satu loji mempunyai reka bentuk
mekanikal yang mudah dan selamat boleh didirikan terutama di taman-taman perumahan.
Loji pelupusan itu amat berkesan
kerana boleh memproses serta melupuskan pelbagai jenis sampah dan bahan buangan
seperti biomas, bahan toksik, sampah kediaman, sampah klinikal, plastik, kayu
dan getah. Malah melalui proses pyrolisis ini, kita tidak perlu mengasingkan
atau menghancurkan sampah terlebih dahulu. Segalanya boleh diproses sekali gus
daripada bahan buangan ladang seperti tandan kelapa sawit, bahan buangan rumah
sehingga ke klinik tanpa mengganggu teknik-teknik pemprosesannya. Proses pembakaran
menggunakan teknik pyrolisis ini tidak menghasilkan sebarang gas beracun
seperti karbon monoksida sebagai bahan buangan akhir. Loji ini tidak
menghasilkan bahan akhir lain yang beracun, malah gas pembakaran yang
dihasilkan boleh digunakan semula bagi proses pyrolisis yang seterusnya. Selain
itu, bahan api tambahan juga tidak diperlukan bagi memulakan semula proses
pyrolisis. Malah dengan menggunakan teknik ini setiap tan sampah akan dapat
menghasilkan sehingga 300 hingga 350 meter padu gas yang bersamaan 19 hingga 23
silinder gas memasak. Gas itu yang telah dibersihkan mempunyai nilai pembakaran
8,000 kJ/kg hampir sama dengan gas memasak daripada gas asli. Sementara itu
sedimen yang terhasil daripada proses pyrolisis boleh digunakan untuk dijadikan
baja di taman-taman perumahan.
3.4 :
Pelupusan sampah di rumah
Bagi kawasan kecil atau persendirian mungkin anda tidak terfikir
untuk memiliki sebuah pelupus sampah sendiri. Tapi sebenarnya teknik
pelupusan sampah persendirian ini boleh dibuat dengan menggunakan bahan-bahan
yang terbuang. Malah lebih
menjimatkan hasil pelupusan boleh digunakan untuk menyuburkan semula kawasan
taman di rumah anda. Pelupus sampah sebenarnya mengumpulkan haba yang
cukup untuk membakar semua sampah dengan sempurna. Maka dengan itu hasil
pelupusan merupakan bahan yang baik untuk menjadi nutrient kepada tanah.
Berbanding dengan teknik pembakaran biasa, haba yang tersebar menjadikan banyak
sampah yang tertinggal (tidak terbakar), maka pelupusan menjadi sukar terutama sampah yang
agak lembab seperti sampah makanan.
Bagi pelupus sampah ringkas boleh dibuat menggunakan tong yang
besar dengan menyediakan lubang-lubang udara di bahagian bawahnya. Aliran udara
ini yang membantu untuk proses pembakaran berlaku dengan sempurna manakala
ruangan di dalam tong memerangkap haba supaya dapat membakar keseluruhan sampah
sehingga betul-betul habis.
Pelupus
sampah ringkas untuk rumah kediaman
Tapak pelupusan sampah pembuangan terbuka
memerlukan kos tinggi untuk
dibangunkan semula, selain menurunkan
nilai hartanah di kawasan berhampiran.
3.5 Tapak Pelupusan Sanitari
Tapak pelupusan sanitari merupakan satu kaedah
yang mempunyai sistem saluran paip untuk menyerap gas Metana yang dihasilkan
daripada proses pereputan sampah dalam tempoh tertentu yang kemudian boleh
ditukar menjadi tenaga elektrik. Dalam kes Bukit Tagar misalnya, sel di tapak
pelupusan yang ditutup pada November 2007, selepas beroperasi selama dua tahun,
kini menjana 1.0 Megawatt elektrik yang digunakan bagi tujuan operasi di tapak
pelupusan sisa pepejal sanitari itu. Keadaan itu (sistem paip gas) juga boleh
mengelakkan risiko berlakunya pembakaran tidak dijangka, ekoran pembebasan gas
rumah hijau itu, yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Tapak pelupusan sanitari kurang berbau kerana mempunyai
penutup harian daripada tanah liat atau plastik yang digunakan menutup sampah
dilupuskan untuk mengelakkan risiko bau dan haiwan seperti lalat, tikus dan
gagak.
Contoh terkini ialah kebakaran timbunan sampah
setinggi 91.4 meter di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Sungai Kertas,
Gombak awal September lepas, dipercayai ada kaitan dengan pengurusan sampah
tidak efektif. Masalah pengurusan sisa pepejal sebenarnya bukan dialami di
negara ini sahaja tetapi di negara lain ekoran kerancakan aktiviti ekonomi,
peningkatan populasi dan guna tanah terhad.
Pengurusan
tidak menepati piawaian ancam nyawa penduduk sekitar
dan alam semula jadi
Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari
Bukit Tagar
4.0
: Kesimpulan
Tidak dapat dinafikan bukan mudah untuk mengubah minda masyarakat
terutama yang berkaitan dengan kebersihan, kitar semula dan penggunaan
teknologi terkini. Mengubah minda dan persepsi masyarakat antara cabaran
terbesar dan paling sukar. Justeru, dalam perlaksanaan pengurusan sisa pepejal pada
masa hadapan adalah perlu dilakukan secara integrasi merangkumi perubahan gaya
hidup, 3R (reduce, reuse dan recycle) dan teknologi pelupusan terkini. Kini
kerajaan sedang dalam proses untuk meningkatkan penggunaan teknologi pelupusan
sampah yang canggih untuk melupuskan sisa buangan. Sebenarnya, di samping
pengurusan sisa pembuangan, kita juga harus menumpukan perhatian terhadap isu
pengurangan sisa dan sampah itu sendiri. Dari segi ekonomi misalnya, negara
kita terpaksa membelanjakan lebih daripada 400 juta ringgit setahun untuk
menguruskan sampah yang dihasilkan oleh penduduk negara. Sekiranya negara
berjaya mencapai sasarannya, iaitu untuk mengitar semula sekurang-kurangnya 22
peratus daripada jumlah janaan sampah negara, adalah dijangka kita boleh menjimatkan
sekurang-kurangnya 88 juta ringgit setiap tahun. Jumlah ini boleh disalurkan
kepada projek-projek pembangunan lain yang lebih diperlukan oleh rakyat.
Tanggungjawab untuk menjamin sebuah negara yang bersih bukan
sahaja dipikul oleh kerajaan tetapi patut dipikul oleh semua pihak. Untuk
membentuk rakyat yang bertanggungjawab kepada alam sekitar, mereka perlulah
mempunyai kesedaran.
Untuk memupuk kesedaran di kalangan rakyat, cara yang terbaik ialah melalui pendidikan. Dengan adanya kesedaran pada seseorang individu, dia akan sedar tentang betapa pentingnya kualiti alam sekitar yang tinggi dikekalkan. Pemilihan teknologi pengurusan sisa pepejal merupakan masalah membuat keputusan pelbagai kriteria yang melibatkan penilaian subjektif. Proses pemilihan sukar dilakukan kerana ia berada dalam lingkungan sumber yang terhad. Kerumitan proses ini semakin bertambah apabila melibatkan isu sosial dan sekitaran serta masalah pembiayaan projek. Kesesuaian teknologi menentukan kejayaan program pengurusan sisa pepejal dan ia perlu dipertimbangkan pada peringkat awal perancangan. Kesesuaian teknologi tidak hanya merujuk kepada operasi dan kos mesin yang diimport dari negara maju, tetapi juga merujuk kepada kesesuaian gabungan teknologi. Teknologi yang diterima pakai dari negara maju tidak semestinya efektif untuk negara kita tetapi perlu diubah suai mengikut keadaan tempatan.
Untuk memupuk kesedaran di kalangan rakyat, cara yang terbaik ialah melalui pendidikan. Dengan adanya kesedaran pada seseorang individu, dia akan sedar tentang betapa pentingnya kualiti alam sekitar yang tinggi dikekalkan. Pemilihan teknologi pengurusan sisa pepejal merupakan masalah membuat keputusan pelbagai kriteria yang melibatkan penilaian subjektif. Proses pemilihan sukar dilakukan kerana ia berada dalam lingkungan sumber yang terhad. Kerumitan proses ini semakin bertambah apabila melibatkan isu sosial dan sekitaran serta masalah pembiayaan projek. Kesesuaian teknologi menentukan kejayaan program pengurusan sisa pepejal dan ia perlu dipertimbangkan pada peringkat awal perancangan. Kesesuaian teknologi tidak hanya merujuk kepada operasi dan kos mesin yang diimport dari negara maju, tetapi juga merujuk kepada kesesuaian gabungan teknologi. Teknologi yang diterima pakai dari negara maju tidak semestinya efektif untuk negara kita tetapi perlu diubah suai mengikut keadaan tempatan.
9 July 2015 at 16:56